Facebook
RSS

Filem hidup insan

Kehidupan kita ini tidak ubah seperti sebuah gulungan filem yang memutarkan kisah-kisah kehidupan. Ada babak-babak cerita yang berulang dan ada yang tidak berulang.Ada  babak gembira,sedih,marah,bosan,keliru,cinta,kecewa,letih,bersemangat dan pelbagai lagi perasaan. Namun, kisah kehidupan ini ada penamatnya. Ya, pasti ada penamatnya.Dan Allah beri watak-watak di dalam kisah ini untuk menentukan bagaimana watak mereka akan berakhir. Setiap millimeter filem yang digulungkan menghampiri penghujung filem, setiap detik yang berlalu insan semakin menghampiri kesudahan hayatnya. Semua insan berkongsi persamaan ini, iaitu kisah kehidupan ini ada penghujungnya.

Tetapi, yang membezakan insan ialah keadaan penghujung kisah hidupnya. Apalah ertinya kisah ini seandainya penghujungnya insan melupakan Tuhan dan memilih kesenangan yang sementara. Tiada maknanya kisah ini jika watak itu tamat tanpa mencorakkan warna filem ini. Kita tidak mengharapkan perubahan yang terlalu besar namun cukuplah dengan kadar sumbangan kita dalam mencorakkan warna filem ini. Namun, andai sumbangan kita besar maka besarlah juga perubahan itu.

Untuk mendapatkan sesuatu yang bernilai itu insan perlu korbankan sesuatu yang turut bernilai dalam kehidupannya. Walaupun berat sekali hati merelakan namun itulah nilai yang perlu dibayar. Ramai sekali insan yang tidak sanggup yang akhirnya kekal di tahap yang sama.Tidak kiralah sama ada nilai itu bersifat objektif seperti harta & masa ataupun subjektif seperti perasaan & sikap, yang pastinya ada sesuatu yang perlu insan korbankan. Inilah erti sebenar sebuah 'Hijrah', bukannya sekadar mengucapkan 'Selamat tahun baru' dan menghadiri majlis-majlis doa dan zikir.

Teringat Musafir mengenai kisah seorang insan ini:
“Malam itu insan itu terjaga daripada tidur setelah bermimpi dia sedang menyampaikan sedikit pengisian kepada segenap insan yang lain di dalam sebuah dewan yang besar. Lantas, dia terfikir hanya ini sahajakah yang mungkin mampu dia lakukan? Terlintas sejenak di fikirannya sebuah kata-kata Saidina Abu Bakar tatkala Rasulullah SAW baru sahaja wafat, “ Adakah agama akan menjadi lemah sedangkan aku masih hidup?”.

أيَنْقُصُ الدِّين وَ أنَا حَيٌّ

Dia sangat terkesan dengan sikap Saidina Abu Bakar yang tersangat komited dalam menegakkan Islam. Dadanya mula sebak. Hanya dalam empat hingga lima saat kemudian air matanya mula mengalir. Akhirnya dia menghabiskan waktu tidurnya itu untuk membaca dan mentadabbur(meneliti maksud) ayat-ayat al-Quran, kemudian dia mengeluarkan sehelai kertas ‘foolscap’ dan melakukan ‘brainstorming’ apa kekuatan dan kemampuan yang dia ada untuk disumbangkan kepada umat Islam. Kemudian dia menetapkan beberapa tindakan yang boleh dilakukannya berdasarkan kekuatan yang dia punyai walaupun kecil."

Begitulah hari-hari yang dilalui oleh insan itu. Putaran filem ini terus berjalan di saat saudara/i membaca penulisan ini dan akan terus berjalan. Insan tidak tahu bilakah wataknya akan tamat dalam kisah kehidupan ini. Mungkin sahaja awal atau mungkin sahaja lewat dan di penghujung cerita. Oleh itu, insan perlu terus berusaha memastikan wataknya berakhir dengan kesudahan yang terbaik. Wallahu’alam.
[ Read More ]

Jalan kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim

Insan bebas menentukan jalan kehidupan yang selesa dan sesuai dengan fitrah dirinya. Namun jalan-jalan yang dipilih itu wajib tidak bertentangan dengan al-Quran dan asSunnah. Juga sudah menjadi sunnatullah, semakin dewasa insan itu semakin sukarlah jalan kehidupan yang perlu ditempuhinya. Semakin besar tanggungjawabnya dan bebanan yang perlu dipikul. Namun, ramai insan rebah dalam mendepani realiti kehidupan ini. Begitulah Allah memilih hambaNya yang benar-benar beriman .Insan ditapis dengan ujian dan dugaan yang melanda, sama ada terus bertahan dan beriman ataupun berputus asa dan berhenti berusaha.

Bagi yang terus bertahan, masih ada ujian yang menanti. Kadangkalanya, kita ditentang dan dibenci diam-diam. Kadangkala kita dipuji dan dirai.Kadangkalanya ada insan yang berdendam dengan kita atau mungkin kita yang berdendam dengan insan lain.

Mengapa perlu menyimpan dendam? Maafkan dan cubalah untuk melupakan kesilapan insan. Sama ada insan sedar atau tidak dendam itu sebenarnya hanya merosakkan jiwa insan itu sendiri. Inilah yang dimaksudkan oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam buku 'Di Manakah Kesilapan Kita?'. Tatkala beliau mengupaskan topik 'Kemampuan umat Islam pada bilangan tidak berfungsi',katanya umat ramai tapi berpecah-pecah.Beliau menasihatkan agar mengutamakan Islam berbanding perasaan diri sendiri. Bersatu dan berganding bahulah dalam menggerakkan Islam. Kita tidak disuruh mencari luka dalam berjuang. Namun, adakah dikatakan berjuang jika tidak ada luka?

Inilah warna kehidupan. Namun, bukan interaksi insan lain yang menentukan siapa diri kita secara tepat, tetapi pandangan Allah sahajalah yang menentukan siapa kita. Apabila insan semakin menyedari hakikat ini, insan semakin tenang dan redha dengan dugaan yang mendatang. Alhamdulillah..
[ Read More ]

Penyakit harakah dan landasan cinta

Sejak beberapa minggu akhir-akhir ini, Musafir dipenuhi dengan beberapa tugasan luar yang memerlukan komitmen dan kerahan minda yang tinggi. Alhamdulillah..tugasan di Perak sudah selesai, kini sedang menyiapkan sedikit lagi tugasan di Kedah dan insyaAllah akan ke Seri Kembangan,Selangor untuk 'berehat sambil bekerja' dan menyegarkan kembali minda dan badan. Dalam masa yang sama bermacam-macam perkara berlaku kepada keluarga. Ada yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah sebanyak RM0.5juta, ada yang tertipu RM70,000. Segala yang berlaku membuatkan Musafir merasakan besarnya tanggungjawab diri untuk mengikat jiwa-jiwa ini dengan ikatan Islam, tambah-tambah lagi hanya Musafir seorang sahaja yang dalam keluarga besar ini yang mendalami bidang pengajian Islam.

MUTIARA YANG TERKUTIP DI SEPANJANG MUSAFIR


1) Keliru antara platform dan matlamat

 Perkara ini sering berlaku kepada individu yang terlibat dengan gerakan-gerakan Islam,berpersatuan, dan seumpamanya. Terlalu fanatik dan cintakan wasilah(platform) pelaksanaan dakwah mereka inilah yang menjadi racun dalam diri mereka. Malah ada yang sehingga mengatakan hanya mereka sahaja yang betul. Secara peribadinya, saya menasihatkan insan-insan ini supaya melihat sedalam-dalamnya perbezaan di antara wasilah dan matlamat, memahami erti baiah yang sebenar serta menilai segala gerak kerja jemaah berpandukan alQuran dan asSunnah di atas tafsiran yang benar.



2) Landasan 'CINTA' yang kabur


Hairan rasanya melihat sahabat-sahabat yang sebaya saya yang terlalu obses dengan istilah 'CINTA'. Pelbagai takrifan dikeluarkan berdasarkan pengalaman dan pendapat masing-masing.Yang pernah putus cinta dengan cara orang putus cinta manakala yang sedang bercinta dengan cara orang bercinta. Namun, tatkala ditanya, ' Eh, kenapa tak masuk meminang atau menikah terus?'  Lambakan alasan dan jawapan pula yang  diberikan. Adakah insan lebih rela berada dalam kemurkaan Tuhan berbanding limpahan rahmatNya?


Bagi mereka yang aktif dengan gerakan Islam pula dengan cara mereka 'tersendiri'. Musafir tidak pasti sama ada sebahagian insan ini sedar ataupun tidak bahawa sebenarnya mereka sedang mabuk 'berfalsafah cinta'. Ya, Musafir tidak nafikan terdapat ayat alQuran dan hadis yang menyebutkan tentang cinta atau Musafir lebih suka menyebut sebagai 'Mahabbah'. Misalnya, ' lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik'. Untuk memahami ayat ini Musafir cadangkan supaya lihat semula asbab nuzul(sebab penurunan) ayat ini. Benarkah seperti mana insan-insan ini memahami?


Ini pula bagaimana Musafir memahami 'CINTA' secara peribadi. Sejujurnya, rasa mahabbah inilah yang banyak menguatkan diri saya. Mungkin saudara dan saudari pernah dengar tentang 'spiritual leadership', atau istilah yang lebih sesuai dengan agama kita,' kepimpinan bertuhan'. Apabila kita menjadikan Allah sebagai kekasih kita, maka apa sahaja sanggup kita lakukan demi kekasih kita yang disayangi itu.Saya tidak akan terangkannya di sini secara lebih detail.  

Cinta sesama insan? Bagi Musafir, cinta itu dasarnya tanggungjawab. Tanpa rasa tanggungjawab, itulah cinta di atas landasan yang kabur.Usah memikirkan cinta sesama insan seandainya sikap bertanggungjawab entah ke mana.Musafir hanya melatih diri untuk jadi seorang insan yang lebih bertanggungjawab. Dari segi kewangan misalnya, Musafir membahagikan untuk penggunaan diri,keluarga,perjuangan,kecemasan dan bakal keluarga. Soal calon sama sekali tidak terfikir apatah lagi mencari.

Duit yang terkumpul akan ditukar dengan dinar emas Kelantan. Apa bezanya dinar emas yang dikeluarkan syarikat swasta yang lain? Perbezaannya ialah dinar emas yang dikeluarkan syarikat swasta ialah syiling simpanan bermatlamatkan pelaburan sahaja tetapi dinar emas Kelantan ialah mata wang syariah. Selain ianya boleh digunakan sebagai alat untuk urusan seperti jual beli, mas kahwin,haji dan dam,korban dan akikah,zakat dan perniagaan, ia juga adalah mata wang kalis inflasi kerana emas sentiasa naik nilainya. Pada 2006, sekeping dinar emas Kelantan hanyalah RM300+ tetapi sekarang RM800+, pertambahannya adalah RM500+. Cuba bayangkan orang yang memiliki 100 dinar emas Kelantan pada tahun 2006, berapa nilai kenaikan pada tahun 2011? Begitulah kehebatan Allah yang menciptakan emas,walaupun asalnya tersimpan jauh dalam perut Bumi namun Allah mengeluarkannya untuk kita sama-sama berfikir dan bertakwa.

Dinar emas dalam hadis Nabi Muhammad SAW
Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:
"Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham (untuk digunakan)"
Hadis dari Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal
 Boleh rujuk Kelantan Golden Trade untuk sebarang urusan. 


Musafir memohon maaf seandainya ada yang terguris hati. Maaflah, Musafir hanya menasihatkan di atas dasar 'katakanlah yang benar walaupun pahit'. Wallahu'alam..


[ Read More ]

    There was an error in this gadget

    GEMAR DIBACA