Facebook
RSS

Nilai Sebuah Kehidupan

   Adakah dinamakan kehidupan jika tiada gembira dan duka, jaya dan gagal, seronok dan sunyi, tenang dan gelisah serta apa jua rasa yang menyenangkan dan meresahkan kita?

   Tiada seorang insan pun yang terkecuali daripada rasa-rasa ini. Hatta seorang gila pun tetap melaluinya walaupun akalnya tidak lagi memberi respons yang normal terhadap rasa-rasa ini. Segala rasa inilah yang mewarnai insan jua kehidupannya. Segala rasa yang menyenangkan itu pada insan merupakan suatu kenikmatan. Segala rasa yang tidak menyenangkan itu pula suatu musibah.

   Namun, apalah gunanya gembira jika diri jauh dari Tuhan?  Apalah gunanya berjaya andai Tuhan membenci diri? Apalah gunanya berduka andai tidak ingat pada Tuhan? Apalah gunanya resah jika tidak kembali kepada Maha Pemberi yang memberi ketenangan?

   Nilai hidup ini bergantung kepada soal siapa kita pada Tuhan. Walaupun pujian manusia menggunung tinggi tetapi di sisi Allah hina dan keji, tetap tiada gunanya. Sebaliknya andai seluruh manusia mencaci maki dan membuang kita ke tepi, tetapi pada Allah mulia dan terpuji, itulah nilai kehidupan yang paling tinggi. Tinggi rendah nilai hidup ini segalanya menurut penilaian Ilahi.

Begitulah firman Tuhan mengingatkan insan yang beriman;

    "Dan janganlah kamu berasa lemah dan janganlah bersedih. Kamulah yang paling tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman ."  (Surah ali Imran: 139)

   Allah menjelaskan kepada insan bahawa sesiapa yang mahukan diri dan hidupnya bernilai pada-Nya mestilah tetap beriman dalam apa jua keadaan; waima lemah mahupun sedih. Mendahulukan penilaian iman, itulah yang Allah ajarkan bukannya menurut rasa hati diri semata-mata. Manusia tidak akan mampu membunuh keutamaan ini dengan apa cara sekalipun.

Wallahu'alam.
[ Read More ]

Berhenti Sejenak

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Alhamdulillah. Segala puji yang selayaknya kepada Allah yang menjadikan insan dengan kelebihan dan kekurangan serta kekuatan dan kelemahan. Selawat dan salam ke atas Muhammad S.A.W. yang telah memberikan panduan dalam membezakan yang benar dan yang batil.

InsyaAllah, Musafir akan berhenti sejenak daripada berkongsi pengisian di laman ini. Semoga artikel-artikel yang tercatit di laman ini menjadi nilaian amal kebaikan di sisi Allah. Saya akan kembali menulis di laman ini pada 19 Ogos 2012 yang akan datang.

Di bawah ini dititipkan beberapa 'status update' daripada wall Facebook Bicara Musafir. Semoga anda juga dapat merasa secebis 'rasa' yang saya cuba lahirkan daripada jiwa saya. InsyaAllah.



1) IMAN DAN KEHIDUPAN

"Insan boleh berdolak-dalih dalam pelbagai perkara tetapi dalam soal keimanan & ketenangan jiwa tidak ada seorang insan pun dapat berbohong kepada dirinya sendiri. Mungkin di hadapan manusia dia boleh berpura-pura tetapi Allah & dirinya sendiri pasti mengetahui keadaan sebenar jiwanya ketika itu."
======================================================

Kehidupan seharian insan jika tidak diisi dengan keimanan, dari semasa ke semasa,sedikit demi sedikit, insan akan rasa semakin sunyi walaupun hidup bersama ramai kawan dan kesenangan yang pelbagai. Tetapi apabila Allah bersama insan dan insan itu juga selalu berharap kepada Allah, jiwa insan itu tenang, tidak pula rasa sunyi.

Dengan landasan iman,pasti segalanya selamat.

Jika gembira, bergembiralah di atas landasan iman.
Jika sedih, bersedihlah di atas landasan iman.
Jika sayang, sayanglah dengan apa yang dibataskan iman.
Jika marah, marahlah kerana iman.

Fitrah insan, kadang-kala tersasar dari landasan keimanan, tetapi kembali dan cubalah betul-betul untuk terus berada di atas landasan iman.

======================================================
Mana-mana insan yang mencari erti sebenar sebuah keimanan akan melalui dua fasa umum; ada kalanya terlalu bersemangat dan ada kalanya terlalu memikirkan bagaimana melakukan sesuatu itu dengan berhikmah.

حماسة الشباب في حكمة الشيوخ

" Semangat pemuda dalam kebijaksaan(kematangan) orang dewasa"
Inilah yang diperlukan insan,tidak kira muda atau tua dalam menyeimbangkan sesuatu gerak kerja. Semangat yang dikawal dengan penuh hikmah. Pasti kadang-kadang tidak seimbang, tetapi cubalah untuk seimbangkan & bertawakallah.

=======================================================
Walau sehebat manapun minda keagamaan seseorang itu tetapi tanpa jiwa agama dia tidak akan pernah selamat .Lebih baik lagi mereka yang minda keagamaannya biasa-biasa tetapi jiwa agamanya kuat. Percayalah dan lihatlah sendiri.
=======================================================




2) DAKWAH & TARBIYAH

Dalam kehidupan seharian insan ada perkara yang boleh diambil mudah, maka permudahkanlah. Ada juga perkara yang perlu diambil berat maka beratkanlah. Tetapi ada kalanya perkara yang mudah itu perlu diambil berat supaya orang lain tidak terlalu bermudah-mudah.

Simple.

===========================================================
Masih segar dalam ingatan setiap perkataan yang diungkapkan kepada mad'u(orang yang didakwahkan). Tapi tatkala diri diuji, jadi bungkam hilang bicara. Tidak pernah lagi seberat ini. Apa jadi sekalipun, dakwah & tarbiyah tetap perlu diteruskan. Ya,wajib diteruskan inilah nadi Islam.حسبي الله ونعم الوكيل, نعم المولى ونعم النصير

"Cuba enta fikir lautan yang di depan kita ni, enta tak nampak penghujungnya kan? Haa..macam tu lah hidup kita ni apabila berdepan dengan masalah. Tapi kita yakin akan bertemu juga daratan walaupun tak nampak, kita yakin ada jalan keluar bagi setiap masalah yang kita hadapi.."

===========================================================
Sibuk? Banyak kerja? Tak ada masa?
Laksanakanlah tugas-tugas itu,siapkanlah kerja-kerja itu sesempurna yang mampu, usahakanlah tanpa banyak mengeluh. Buatlah apa kerja pun selagi dibenarkan syariat. Tapi, jangan lupa agenda utama kehidupan kita ini,iaitu dakwah & tarbiyah. Jangan tunggu diri sempurna/baik baru nak laksanakannya tapi kerana kita tidak sempurnalah kita melaksanakannya. Dakwah tanggungjawab setiap muslim. Bukankah kita muslim?
==========================================================
Untuk melakukan perubahan pada diri sendiri, insan perlu kurangkan memberi alasan & menerima segala bentuk bebanan kerana itulah sumber momentum perubahan yang sedang diusahakan. Berusahalah untuk penuhi ciri-ciri ibadullah, daei ilallah & Khalifatullah. Terus & teruslah berusaha. Jangan biarkn dosa-dosa yang terpalit dek sedikit kesilapan yang dilakukan menjadi titik untuk berputus asa. Diriku seorang pendosa, kerana itu aku terus berusaha.
==========================================================
Dalam melakukan perubahan diri dan meningkatkan kualiti diri, insan perlu memaksa dirinya melakukan apa yang dirasakannya sukar, membebankan & ada kalanya apa yang dirasakan mustahil mampu dilakukan perlu dilakukan.
==========================================================
Menjadi 'check & balance' bagi sesebuah komuniti bukan kerja mudah, tatkala mereka lalai, kita kena jadi tegas & mengingatkan. Tatkala mereka sedia menerima kita kena jadi mesra & berjiwa pemberi. Mengharap Allah terus memberi kekuatan.
==========================================================

3) CINTA & PERKAHWINAN

Sejak akhir-akhir ini, sering dilihat ramai sahabat yang post perkara berkaitan cinta dan kahwin. Bagi saya, perkara ini perlu dinilai dengan matang. Ini bukan soal suka-suka macam budak sekolah rendah. Apabila menyentuh soal ini apa yang pertama sekali terlintas di minda saya ialah tanggungjawab & amanah.

Jika bercakap soal fenomena kahwin awal/waktu belajar, saya tidak sama sekali mengatakan 'Ya' atau 'Tidak'. Bagi saya, ini bergantung kepada individu itu sendiri.

Apa susahnya, Allah itu kan Maha Mendengar. Buatlah solat istikharah, jika 'Ya' maka katakanlah 'Ya'. Jika Allah kata 'Tidak' maka teruskanlah kehidupan seperti biasa. Bukankah Allah itu MAHA Mengetahui?
======================================================
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303, had umur minima untuk memasuki perkahwinan ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.
======================================================
Ada sahabat tanya pendapat saya tentang pepatah 'kumbang bukan seekor dan bunga bukan sekuntum'. Ya, memang benar 'kumbang' & 'bunga' bukan sekuntum, tapi bukan semuanya sama. Ingat, bukan semuanya sama. (Saya menilai dari perspektif realiti kehidupan, bukan tatatertib linguistik)

*Tidak ada kaitan dengan mana-mana 'kumbang/bunga' yang masih hidup mahupun yang telah pergi..(Bimbang disalahtafsirkan)
======================================================
Lebih aneh ada yang sering bercakap soal calon sedangkan persiapan (kewangan, pengurusan diri) ke arah itu lintang pukang. Jujurnya,ingin sekali saya berbincang soal ini dengan para sahabat dalam perspektif persediaan ke arah itu. Bukan perspektif siapa calonnya.



Wallahu'alam. Jumpa lagi di bulan Ogos akan datang. Assalamualaikum..
[ Read More ]

Menilai Kecewa


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah.Segala puji bagi Allah dan segala pengesaan hanyalah selayaknya kepadaNya, selawat dan salam ke atas Muhammad S.A.W. yang dirindui yang tidak ada lagi nabi selepasnya.


MUKADIMAH

Kadang-kalanya cemburu melihat sahabat-sahabat bercakap dan berbincang soal agama sedangkan diri ini merangkak dalam memahaminya. Lagi cemburu melihat sahabat serta rakan yang keluarga mereka baik-baik belaka. Apatah lagi sahabat yang keluarganya terdiri daripada mereka yang faham agama serta keperluan dakwah dan tarbiyah(D&T). Apa-apa pun bersyukurlah dengan apa yang ada.

Kadang-kalanya kecewa datang menyapa dan diri kita pun terdiam seketika. Bungkam. Rasa putus asa pun ada tetapi apabila memikirkan soal matlamat kehidupan ini yang jauh lebih besar dan membandingkan dengan kekecewaan orang lain yang jauh lebih besar, dirasakan kekecewaan itu seperti perkara kecil pula.

BICARA MUSAFIR

"Bukan tentang apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya."

Jiwa insan itu penentunya antara nafsu dan iman. Jika diikutkan nafsu pasti sudah berputus asa dan mengundur diri. Namun, jika iman yang menjadi ikutan pasti suatu keajaiban berlaku. Kekecewaan itu mampu bertukar menjadi sumber kekuatan.

Jika kita melihat kekecewaan itu sebagai suatu yang positif dan berhikmah, pasti itu akan menjadi sumber kekuatan. Sebaliknya jika kita melihatnya sebagai suatu yang menghinakan,memalukan dan kegagalan mutlak, pastilah kekecewaan itu akan terus membebankan kita. Janganlah ikut nafsu, ikutlah kata iman.
Masih sukar menganggapnya positif ?

Sebenarnya apabila kita diuji, ada pahala yang tercatat jika kita redha dan berlapang dada menerimanya. Semakin besar kekecewaan semakin besarlah ganjaran daripadaNya, seandainya kita bersabar. Mulai saat ini,perbetulkan semula bagaimana kita melihat sesuatu perkara itu, carilah hikmah di sebaliknya, carilah.

Mungkinkah juga kerana kita yang selalu sangat lupa kepadaNya?

Ya, mungkin juga. Untuk diri Musafir,inilah sebab yang Musafir rasakan paling sesuai apabila diri ini diuji dengan kekecewaan. Apabila kita ingat kepada Allah di saat kita senang, Allah pula akan ingat kepada kita di saat kita dalam kesusahan. Amat benarlah kata-kata Muhammad SAW yang dirindui,
"Kamu ingat Allah ketika kamu senang, Allah pasti ingat kamu ketika kamu susah"
                                                                             (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Secara fitrahnya, untuk rasa senang di atas kesenangan itu sesuatu yang senang. Untuk rasa susah di atas kesusahan itu juga sesuatu yang senang. Tetapi, untuk rasa susah dan bimbang di atas kesenangan atau nikmat itulah yang susah. Biarlah susah senang kita ini bersama Tuhan.

KHATIMAH/PENUTUP
Apa-apa jua yang berlaku sangatlah bergantung kepada cara kita menilainya. Lihatlah bagaimana kekecewaan demi kekecewaan yang kita lalui sebelum ini telah membina diri kita hari ini. Mungkin tanpa kekecewaan yang Allah berikan suatu masa dahulu kita tidak mungkin menjadi diri kita yang hari ini.




Info tambahan:

Menurut Syeikh Dr. Safar al-Hawali di dalam Syarah 'Aqidah at-Thohawiyah dalam bab al-Iman bi al-Luh wa al-Qalam tentang hadis di atas(تعرف إلى الله في الرخاء يعرفك في الشدة ) ialah  "Yang dimaksudkan dengan - 'Allah pasti ingat kamu ketika kamu susah' - itu termasuklah kaum mukminin dan golongan kafir."


Biodata : Syeikh Dr. Safar al-Hawali atau nama penuhnya Safar bin Abdul Rahman al-Hawali(سفر بن عبدالرحمن الحوالي‎) lahir pada tahun 1950. Beliau menerima PhD daripada Universiti Ummul Qura dalam bidang Usuluddin pada tahun 1986.
[ Read More ]

Bersoladiriti Global March To Jerusalam(GMJ)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

   Sedar atau tidak, sebenarnya kita sedang menuju era kebangkitan ummah. Masyarakat yang dahulunya dungu dan hanya mahu orang lain tolong uruskan urusan mereka, saat ini sudah mahu sedikit demi sedikit belajar berdikari, itupun setelah Islam ini terlalu parah. 

   Stigma(pandangan) masyarakat kepada ilmu yang memerlukan disiplin yang tinggi juga semakin berubah. Di Malaysia ini, sekitar tahun 60-an dan 70-an dahulu, ilmu tafsir dan hadis merupakan ilmu yang dihalang daripada diajarkan kepada masyarakat. Malah masyarakat menganggap sesat, mungkin juga kerana faktor Islam di Tanah Malaya ini dahulunya dipengaruhi ajaran Syiah. Tetapi hari ini alhamdulillah, jika kita menyebarkan hadis palsu secara tidak sengaja pun sudah ada yang sudi menegur.

Islam semakin hampir kepada kemenangannya. Janji Allah janji yang pasti.

   Pada 30 Mac 2012 yang akan datang, suatu peristiwa penting dalam titik-titik kebangkitan Islam akan berlaku. Suatu tarikh yang bakal menyaksikan 30 buah negera atau lebih bersoladiriti dalam rangka menuju ke Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya berbanding dalam siri Life Line for Gaza(LL4G) yang lalu, hanya beberapa buah negara.

1)Kenapa 30 Mac ?

  Pada bulan Mac 1976, bermulalah titik hitam dalam kehidupan masyarakat Palestin apabila pihak Zionis merampas tanah swasta dan awam secara besar-besaran di kebanyakan kawasan di bumi Palestin. Rentetan daripada itu, rakyat Palestin mengisytiharkan mogok umum yang pertama kali dihadapi oleh Zionis sejak pendudukan Palestin pada tahun 1948. Zionis mula bertindak ganas dengan menakluki lebih banyak perkampungan Palestin, membunuh dan mencederakan ramai orang awam. 

2) Apakah kepentingan GMJ diadakan pada 30 Mac?

  Tarikh 30 Mac 2012 dipilih kerana ianya merupakan simbolik bagi hari yang bersejarah yang terpahat di memori masyarakat Palestin iaitu ‘Palestine Land Day’. Tarikh 30 Mac ini turut dijadikan sebagai acara tahunan antarabangsa yang melibatkan masyarakat di seluruh dunia untuk menunjukkan perpaduan kita dengan masyarakat Palestin dan untuk melindungi Baitulmaqdis sebagai kota suci.
 
   Oleh itu, Global March to Jerusalem (GMJ) adalah perjuangan antarabangsa menuntut kebebasan untuk Baitulmaqdis dan masyarakat Palestin di samping bertekad untuk mengakhiri dasar Aparteid dan polisi pembersihan etnik yang memberi kesan mendalam terhadap rakyat, tanah jajahan dan kesucian Kota Baitulmaqdis yang mana merupakan satu jenayah bukan sahaja terhadap rakyat Palestin, bahkan terhadap semua masyarakat di seluruh dunia.

3) Bagaimanakah Global March to Jerusalam berlaku?

  Satu perarakan keamanan akan dianjurkan secara besar-besaran di beberapa buah benua seperti benua Asia, Afrika, Eropah, Amerika dan Australasia untuk bergerak menuju ke Pa lestin and beberapa negara jiran seperti Jordan, Mesir, Syria dan Lebanon.
 
  Setelah tiba di Palestin pada 30 Mac nanti, perarakan secara aman akan bergerak pula menuju ke Baitulmaqdis atau titik kawasan yang terdekat dengannya. Pada tarikh yang sama, demonstrasi secara aman akan diadakan di hadapan kedutaan Israel di pelbagai ibu negara yang terpilih dan seterusnya akan berlanjutan secara besar-besaran di dataran utama di bandar-bandar besar di dunia seperti Dataran Tahrir, Mesir.

  Di Malaysia, Malaysia Global March to Jerusalem (myGMJ) ditubuhkan untuk menerajui sebuah gabungan NGO Malaysia tidak mengira agama, bangsa dan politik untuk menganjurkan sebuah aktiviti kebangsaan serta mengambil bahagian dalam aktiviti GMJ antarabangsa.

  Seluruh warga Malaysia daripada semua lapisan masyarakat diajak untuk bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan amalan yang mulia ini. Semua tokoh negara, ahli politik, selebriti, tokoh-tokoh hak asasi manusia dan penerbit filem dijemput untuk bersama-sama menyokong aktiviti myGMJ ini.

  Beberapa aktiviti telah dijalankan di beberapa tempat dan terdapat juga aktiviti-aktiviti yang masih dalam perancangan dan akan menyusul seiring dengan acara kemuncak GMJ yang akan berlangsung pada 30 Mac 2012 nanti.




Bicara Musafir:

1) InsyaAllah saya akan turut bersama Global March to Jerusalam(GMJ)- (tetapi hanya di Terengganu. Jumpa di Masjid Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu !
2)Kongsikan bersama rakan anda yang masih tertanya-tanya apa itu GMJ.
 - http://bicaramusafirv1.blogspot.com/2012/03/bersoladiriti-global-march-to.html
 - Global March to Jerusalem, Malaysia - Official Website: www.mygmj.org
3) Di bawah ini wallpaper khas dari Musafir untuk anda..

Klik grafik untuk besarkan dan simpan/muat turun
[ Read More ]

Mencari Jalan Pulang

 
 بسم الله الرحمان الرحيم

Segala puji selayaknya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.

  Ketika sahabat-sahabat sekampus sudah bercuti dan pulang ke kampung halaman hampir seminggu lebih, Musafir masih di kampus bersama tugasan dan amanah terhadap mahasiswa-mahasiswa di sini. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan rutin kehidupan sebegini sejak di bangku sekolah lagi, maka perkara seumpama ini tidaklah dirasakan terlalu membebankan walaupun hakikatnya agak membebankan. Saya selalu berbisik pada diri tatkala keletihan, " Tak mengapa, selagi aku ikhlas setiap detik keletihan ini pasti ada nilainya di sisi Allah..".

  Alhamdulillah... Allah memudahkan urusan. Segalanya berjalan lancar ketika mana berurusan dengan Majlis Agama Islam Negeri Terengganu atau dikenali sebagai JHEAT( Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu) di Kompleks Seri Iman dua hari yang lalu. Ini bermakna tanggungjawab diri selepas ini semakin bertambah. Allah pasti bantu, insyaAllah...

Mencari jalan pulang

 Bersendirian di suatu sudut kampus pada suatu petang sambil memerhatikan pensyarah dan mahasiswa ijazah pulang setelah masing-masing selesai melaksanakan kewajipan . Sesekali angin bayu menderu lembut, tenang sekali rasanya. Saya terfikir , 

"Inilah lumrah kehidupan datang dan pulang... datang dengan cara dan masa yang berbeza, dan pulang dengan cara dan masa yang berbeza. Apa yang pasti semua orang akan pulang.."

(وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِىٓ إِلَيۡهِ تُحۡشَرُونَ (٩.....

Maksudnya:  "...Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan."                             
                                                                                       [Surah al-Mujadilah:9] 

 Ya, inilah hakikat kehidupan bagi setiap insan. Kita semua sedang mencari jalan pulang. Pulang kepada siapa? Pulang kepada Tuhan kita, Allah yang menciptakan kita. Kadang-kala kesibukan kita dengan urusan dunia ini menjadikan kita tergelincir daripada jalan pulang dan kita pun lupa akan hakikat ini. Kadang-kala kita terlalu lapang dan bersenang-lenang sehingga terlupa akan hakikat ini. Ini juga suatu bentuk sibuk, iaitu sibuk dengan kesenangan.

  Si pelajar sibuk dengan kerja sekolahnya, si kontraktor pula sibuk dengan lukisan pelan-pelan bangunannya, si doktor sibuk dengan mengulang kaji istilah biologinya, si penjahit sibuk dengan tempahan-tempahan bajunya, si akauntan sibuk dengan kerja mengaudit kredit dan debit, si peniaga makanan sibuk dengan jualan dan pelanggannya, 
si penternak sibuk dengan kesihatan ternakannya,si penjual emas sibuk dengan tukaran emas dan analisis nilai emas semasa, si atlet sibuk dengan latihan kecergasan dan staminanya, si pesawah sibuk dengan padinya, si penoreh getah sibuk dengan kerja penorehan dan mengutip susu getah yang telah kering manakala si penuntut ilmu agama sibuk dengan kitab-kitabnya.

Semua orang sibuk tetapi adakah kita masih sedar hakikat kehidupan kita ini? Bahawa sebenarnya kita sedang menuju jalan pulang? Lihatlah saat ini adakah kita berada di jalan pulang yang benar?  Ada ketikanya insan keliru dalam mencari jalan pulang malah kadang-kalanya rasa seperti sudah berputus asa mencari jalan pulang. Tetapi, dengan kasih sayang Allah insan berjaya melaluinya malah sebahagian besar doa yang dirintih kepadaNya sepanjang hayat insan telah pun dilupakan.

Khatimah/Penutup

Ingatlah firman Tuhan supaya bertakwa sehingga bertemu jalan pulang. Takwa atau erti keimanan yang sebenarnya ini hanyalah hadir apabila insan sabar dalam bermujahadah(bersusah-payah), tidak berputus asa walau seberat mana pun beban yang perlu dipikul. Ingin bertemu jalan pulang? Bertakwalah.
[ Read More ]

Kini seperti dulu

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Di Pantai Rhu Sepuluh,Terengganu.

   Detik-detik yang berlalu itu kini hanya menjadi ingatan yang mengingatkan diri saat alpa. Sudah genap seminggu Musafir kemalangan di Tembila berdekatan Besut,Terengganu. Pelbagai tafsiran yang dikeluarkan di atas kemalangan tarbawi ini.Ada yang mencemuh, ada yang katanya sia-sia. Ada juga yang terus memberi kata-kata semangat dan nasihat.Apa yang lebih penting matlamat dakwah & tarbiyah saya sampai. Bagi saya itu perkara biasa, inilah asam garam kehidupan.

  Entri kali ini merupakan perkongsian santai mengenai sebuah aspek kehidupan masyarakat, terutamanya umat Islam.

Kini seperti dulu

   Jika zaman protosejarah(bukan prasejarah,saya antara yang tidak mempercayai wujudnya zaman prasejarah) dulu,syarat untuk menjadi pemimpin sesuatu komuniti ialah individu yang pandai berbomoh,mempunyai unsur luar biasa,pandai berpidato dan lebih berumur. Hari ini, syarat yang sama masih tegar dalam paradigma/pemikiran masyarakat. Apabila seseorang itu mempunyai sebarang ilmu mistik maka dialah yang dianggap hebat.

  Kefahaman ini diserap dan dicampur adukkan ke dalam asas agama Islam dan akhirnya menyebabkan umat Islam keliru malah Islam itu sendiri tercemar. Bagaimana perkara ini berlaku?

  Di dalam Islam ada beberapa perkara ghaibiyyat yang wajib diimani termasuklah di dalamnya karamah. Karamah ialah kemuliaan yang Allah berikan kepada hambaNya yang benar-benar beriman. Sebagai contoh, apa yang dilakukan olah Amirul Mukminin Umar al-Khattab ketika di Madinah seperti yang disebut di dalam riwayat yang sahih;

  Suatu hari, berlaku gempa bumi di Madinah. Sewaktu itu Saidina Umar memegang teraju pemerintahan sebagai Khalifah setelah kematian Saidina Abu Bakar. Ketika bumi sedang bergetar, Saidina Umar menghentakkan tongkatnya ke tanah lalu berkata, “Wahai bumi, tenanglah kamu. Apakah aku tidak berlaku adil di atasmu?” Dengan izin Allah, serta-merta gempa bumi terhenti.

  Namun, karamah(kemuliaan) ini bukanlah hujah dalam sesuatu pensyariatan.Mungkin akan ada umat Islam yang memahami sirah ini dengan berkata,

" Dalam Islam, kalau bumi bergegar maka hentaklah dengan tongkat dan sebutlah , 'Apakah aku tidak berlaku adil ke atasmu?' . Ini yang sahabat Rasulullah lakukan, mereka mulia,siapalah kita untuk tidak mencontohi mereka."

  Perkara yang dilakukan Saidina Umar dengan jelas ini bukanlah suatu syariat. Perkara ini tidak boleh dijadikan hujah dalam pensyariatan. Islam tidak pernah menafikan benarnya perkara-perkara ghaib dan luar biasa, tetapi Islam memandang kejadian seumpama ini sebagai kemuliaan seseorang itu dan bukannya dasar-dasar agama. Dasar-dasar agama hanyalah bersumberkan nas/dalil al-Quran dan as-Sunnah, disertai Ijmak dan Qias.

  Begitu juga apabila disebut wali-wali Allah, masyarakat Islam di rantau ini sering memahami wali-wali Allah itu ialah individu yang boleh terapung di atas air, berada dua tempat dalam satu masa, dan boleh terbang di udara. Jika kejadian ini benar maka benarlah, tetapi tidak boleh dijadikan hujah agama.

  Sebaliknya individu yang menghafal 1.2juta hadis, menentang Syiah sehingga dihukum gantung malah ada yang dibom tidak pula digelar wali Allah. Sebagai penjelasan tambahan, bolehlah tonton video penjelasan Ustaz Azhar Idrus & Ustaz Fathul Bari tentang 'Siapakah Wali Allah?'. -  www.youtube.com/watch?v=LdajcB2Khmo

  Sekian.Sebarang nasihat dan teguran kepada diri yang masih cetek ilmu ini bolehlah diajukan di FB(www.facebook.com/hamiduddin.ismail). Wallahu'alam.
[ Read More ]

Syria... Apa sebenarnya berlaku?

Nota ini adalah hasil perkongsian tokoh ulama' syria,Syeik Hassan di UPM yang datang ke Malaysia akhir tahun lepas dan menceritakan peristiwa sebenarnya yang berlaku di Syria.

1. PERISTIWA SYRIA

   Syria merdeka dari penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya Basyar Al-Assad yang telah memerintah selama 11 tahun. Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator.

  Hafez Al-Assad berpegang pada Syiah Nusairiyah, yang menyimpan perasaan dengki terhadap rakyatnya daripada MUSLIM SUNNI, yang mencaci dan menghina Saidina Aishah dan Ummahatul Mukminin radhiyallahu anhum, diharamkan sembelihan mereka, mereka melakukan kejahatan yang pelbagai, mereka tidak solat di masjid kita (ASWJ).
Kerajaan Syria didokong oleh Iran yang terkenal dengan Syiahnya, bahkan Hafez sendiri merupakan pelampau Syiah.

  Syeikh Hassan seterusnya menceritakan tentang Syria yang mana 6 peratus darinya merupakan Syiah Alawie, 10% darinya beragama Kristian dan 84% daripada rakyatnya beragama Muslim Sunni. Iran mempertahankan tindakan ganas regim Hafez yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan juga menyokong tindakan Hafez Al-Assad.

2. BERMULA ZAMAN AYAHNYA- Hafez Al-Assad- konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari mengorbankan hampir 46000 ribu penduduk Hama. Peristiwa ini menyebabkan rakyat Syria mendiamkan diri dari politik sekian lama.
Rakyat mula kembali bangkit terhadap kezaliman yang berlaku semenjak 8 bulan yang lalu.
Permulaan revolusi berlaku di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti Dar'aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria.

3. PUNCA KEBANGKITAN ADALAH : Ada sekumpulan kanak-kanak seramai lingkungan 28 orang bermain-main dan telah menulis sesuatu di dinding sekolah mereka. Apa yang ditulis oleh kanak-kanak ini ialah RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN. Slogan ini telah dilaungkan di negara2 yang berlaku kebangkitan rakyat. Pasukan keselamatan Syria telah menangkap kanak-kanak ini. Mereka telah diseksa dengan cara mencabut kuku-kuku kaki dan tangan mereka. Salah seorang kanak2 itu telah meninggal dunia dan keluarganya meminta mayat kanak2 itu serta kanak2 lain dilepaskan. Kerajaan telah meletakkan syarat dimana bila mahu lepaskan kanak2 itu, mereka perlu memberi wanita2 dikalangan mereka untuk dinikahi oleh puak2 kerajaan Syria ini ( satu bentuk penghinaan), maka berlakulah kebangkitan di Syria.

4. BENTUK KEZALIMAN YANG BERLAKU SEPANJANG TEMPOH SAURAH.

1-Dalam masa 42 hari telah terbunuh Syahid seramai 4000 orang rakyat Syria.

2-39000 orang telah cedera, mereka tak dirawat dan dibiarkan sahaja.

3-Satu peristiwa di mana seramai 19 orang doktor di hospital dan 40 orang pesakit di hospital tersebut dibunuh tentera Assad di wilayah Doma.

4-9000 tahanan ditahan.

5-413 orang telah syahid di dalam penjara.

6-Wanita2 diculik dan dibawa ke tempat yang tak diketahui. Wanita ini telah dirogol di hadapan abang2, ayah, anak2, dan ahli keluarga mereka. Sebelum dirogol, mereka digari terlebih dahulu.

7-Seorang ukhti bernama Zainab Al-Husni dari Hims, di Madinah Khalid bin Al-Walid. Beliau telah ditangkap dan mahu diperkosa oleh tentera yang menangkapnya. Tetapi beliau melawan. Lantas beliau dibunuh dan telah dipotong 4 KERAT.. Anggota badan yang dikerat itu dimasukkan ke dalam plastik, lalu dicampakkan ke hadapan keluarga beliau.

8-Mengucapkan takbir merupakan sesuatu yang tidak disukai.


9-Menyuruh tukar Laa Ilaha Illah Basyar Asad.

10-Basyar Assad juga daripada kelompok Syiah yang terkeluar daripada Islam dan mengharuskan untuk membunuh Muslimin Sunni..84% daripada posisi kepimpinan Rejim Basyar Assad dipegang oleh kaum keluarga mereka yang terdiri daripada 3 keluarga besar, 6% daripada posisi tersebut pula daripada kaum Ajam dan 10% lagi daripada golongan Kuffar.. Tiada posisi bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah..Kezalimannya terhadap wanita dan kanak2 juga terlalu dahsyat melebihi Israel..rakyat2 Sunni dibunuh sesuka hati tetapi walau seorang Israel pun tidak ditumpahkan darah..hasbunallahu wa neemal wakeel..

#RAKYAT YANG KELUAR BERDEMONSTRASI AKAN MANDI DAN BERWUDHUK KERANA MEREKA YAKIN TIDAK AKAN KEMBALI LAGI...

5. FATWA ULAMA TENTANG SAURAH DI SYRIA

   Rabitah Ulama Syria yang diasaskan oleh Dr Ali As-Sobuni dan Rabithah Ulama Sedunia telah berfatwa kepada rakyat Syria agar mempertahankan rumah mereka daripada keganasan tentera walaupun dengan menggunakan pisau dengan berdalilkan hadis berikut;
#"Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid ; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid" -hadith ini dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya (2/275) An-Nasaie dan Tirmidzi dan disahihkan oleh Imam Al-Albaniy dan Ahmad (1652 dan 1653) dari jalan Said Bin Zaid dan sanadnya Shahih.

6. PERKARA TERBARU

1-Masa depan kebangkitan ini begitu baik. ia berterusan dan semakin kukuh. Lebih 30000 tentera yang terdiri dari pegawai telah bersama rakyat. Mereka ini telah melindungi orang2 yang turun berdemo kerana tidak tahan melihat kekejaman rejim Basyar Assad ini yang sesuka hati membunuh rakyatnya sendiri.

2-Pertubuhan2 Arab (Liga Arab) telah mengambil pendirian tentang apa yang telah Syria lakukan terhadap rakyatnya. Mereka tidak membenarkan pegawai2 Syria memasuki tanah mereka. tetapi ada dua negara yang tidak berpendirian sedemikian iaitu Iraq dan Lubnan. Iraq tidak berpendirian sedemikian kerana pemimpin Syria merupakan orang Syiah dan mereka selalu meminta pertolongan dari Iraq kerana Iraq merupakan negara Syiah.

3-Syeikh Yussuf Al-Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa bahawa mereka yang terbunuh dalam keadaan yang sebegini adalah seorang yang SYAHID.

4-95% ulama Syria telah bersama dalam kebangkitan rakyat ini.

5-19% negara-negara Arab telah mewajibkan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria.

7. KENAPAKAH KITA KURANG MENGETAHUI DENGAN JELAS ISU SYRIA?
1- Gambaran tentang Syria agak tidak jelas bila dijelaskan oleh media2, kerana itu Syeikh Hassan dihantar bagi menjelaskan apakah sebenarnya yang berlaku di SYRIA.

2-Media2 barat sebenarnya tidak mahu manusia dunia tahu akan apakah sebenarnya yang berlaku di Syria. Lalu mereka telah memutarbelitkan fakta.

3-Syeikh Khalid Hasan bercerita, ketika beliau di Indonesia dan bertemu dengan seorang teman, teman itu berkata dia lihat di akhbar bahawa ramai orang menyokong Kerajaan Syria. TV Indonesia juga menyiarkan bahawa ramai yang menyokong Kerajaan Syria yang dipimpin oleh Basyar Al-Assad. Apa yang berlaku sebenarnya ialah, kerajaan telah mengumpulkan pegawai2nya supaya berkumpul dalam erti kata lain mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Basyar Al-Assad ini mempunyai ramai yang menyokong beliau.

4-Jangan terpedaya dengan kenyataan2 yang kita dengar dari ahli intelektual Syria dan ahli politik Syria bahawa yang Syria menentang Israel. Tetapi, sejak zaman ayah Basyar Al-Assad lagi (Hafez Al-Assad) tidak satu peluru pun yang singgah ke tanah Israel. Bahkan Tanah Tinggi Golan yang terletak di Tanah Syria telah dikuasai oleh Israel.

5-Kita banyak tidak tahu tentang Isu Syria selama ini sebab media telah dikawal oleh pihak rejim Basyar Assad. Manakala sumber media lain tidak dibenarkan memasuki Syria untuk membuat liputan. Segala gambar dan video yang menjadi bahan bukti adalah hasil rakaman daripada para pendemonstrasi yang bertekad untuk merakam sendiri kezaliman tersebut dan kebanyakan daripada mereka telah menemui syahid. Sebahagian rakaman lain telah dijual oleh tentera rejim Basyar Assad dengan harga 100 dolar. Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi merupakan delegasi khas Syeikh Dr Yussuf Al-Qaradhawi ke Asia Tenggara untuk menyampaikan dan menyebarkan berita sebenar.

8. PERANAN KITA SELAKU SEORANG MUSLIM & SELAKU SEORANG MANUSIA
-Mendoakan saudara kita di Syria
-Menghulurkan bantuan untuk mereka dari segi kewangan
-Menyebarkan berita sebenar tentang apa yang berlaku di SYRIA.

Ingatlah Saudaraku, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal orang Islam yang lain, maka bukan dari kalangan KAMI"
dan ingatlah selalu akan tempat kembali bagi mereka yang zalim:

Kalam Saidina Ali KWJ; "Sesungguhnya negeri yang batil itu sejkejap sahaj sedangkan negeri yang benar itu tetap sehingga datangnya kiamat".

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Isra' ayat 81;
"Dan katakanlah :Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufurdan syirik) ; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".

Firman Allah dalam Surah Ar-Ra'd ayat 17 ; adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.
(Jzkk AKH Abu Abdullah)

(Disampaikan pada 6 Disember 2011 di Uni Putra Malaysia)





Dikemaskini 15 Februari 2012 
Terkini: Statistik kematian di wilayah Homs yang dikeluarkan hingga 6 Februari 2012 seramai 3,186 orang. Lima hari kemudian iaitu pada 11 Februari 2012, sekali lagi statistik baru dikeluarkan yang menyaksikan jumlah kematian meningkat kepada 3,342 iaitu 156 kematian baru dicatatkan hanya dalam tempoh 5 hari.

[ Read More ]

Persoalan mahabbah(cinta)

Menelaah assignment yang perlu disiapkan, sahabat itu bercakap-cakap soal cinta dan pasangan hidup. Menjamah makanan, sahabat ini juga bercakap-cakap soal yang sama.
Menghayati hadis-hadis Nabawi dan kemudian menghafal, ada juga sahabat yang masih bercakap-cakap soal yang sama.

Saya tertanya-tanya kepada diri mengapa unsur cinta itu menjadi suatu yang sigfikan dalam kehidupan insan. Lantas tersenyum, terfikirkan sesuatu yang sudah terlalu lama berlalu. Namun masih berbekas di hati,iaitu kalamNya dan hadis-hadis Nabawi yang sering membuatkan diri saya terpujuk tatkala diselubungi kesulitan. Ini juga suatu bentuk cinta.

Di antara 2 cinta

Saya berusaha memilih cinta dalam bentuk yang kedua, saya berusaha Allah tentukan hasilnya. Datang seorang sahabat yang menyatakan dia sependapat dengan saya, katanya kerana dia belum mampu hidup dalam erti cinta yang pertama - tidak mampu kerana faktor kewangan, penerimaan ibu ayah dan studi.

"Kita tak sama!"

Apakah Allah mengira insan yang benar-benar berusaha mendebungakan cinta kepadaNya kerana memang itu perintahNya SAMA dengan insan yang berusaha memilih cinta dalam bentuk yang kedua ini kerana urusan dunia atau selain keranaNya?

Sudah pasti tidak! Pasti!

Menafikan fitrah insan? Bukankah melanggar fitrah itu menempah binasa?

Rasa suka kepada sesuatu yang baik itu suatu yang fitrah, walaupun insan itu seorang yang terkenal dengan kejahatannya. Begitu juga rasa suka kepada yang soleh dan solehah. Namun yang menjadi garis panduan halal dan haram ataupun syubhah itu ialah bagaimana insan menyalurkannya dan mengawalnya. Pada hemat saya, soal mahabbah dalam konteks berlainan jantina ini ada 2 keadaannya:

1)Rasa suka yang fitrah, kerana menyedari perasaan seumpama itu suatu fitrah maka seseorang insan itu tidak terlalu memberatkannya. Ada rasa namun tidaklah disusuli usaha.Malah dibiarkan rasa itu singgah dan berlalu seperti itu sahaja, tidak melekat di jiwa.

2)Rasa suka dan menganggap si dia seorang yang 'istimewa', mula membayangkan alangkah indahnya seandainya dapat bersama si dia. Bisikan syaitan sudah mula tertusuk. Ada rasa dan usaha. Bagi insan yang 'sedar' agama dalam erti kata sebenar, dia akan memilih jalan usaha yang halal. Namun apa yang dirisaukan bagaimana pula dengan insan yang kurang memahami agama? Jalan menuju zina atau zina itu sendiri mungkin saja menjadi pilihannya lantaran didorong nafsu dan bisikan si iblis.Inilah mahabbah jahiliyyah!

Kerisauan saya di sebalik fenomena 'lelaki yang baik untuk perempuan yang baik'

Alhamdulillah... semakin ramai insan yang berubah sejak fenomena ini, ada yang memilih perubahan secara transisi(beransur-ansur) dan ada yang memilih berubah secara drastik(mendadak). Ramai daripada mereka mula risau jikalau mendapat pasangan hidup yang juga buruk 'rupa' agamanya. Ada juga yang merasakan dirinya seorang yang teruk lalu berputus asa dan terus merosakkan hidupnya kerana apa yang dia fahami ialah Allah akan memberikan pasangan hidup yang buruk kepadanya. Alahai insan...mari bertaubatlah, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Adil.

Apa yang sangat saya risau dalam situasi ini ialah ada insan yang memilih untuk jadi baik dan berusaha keras ke arah itu demi mendapatkan pasangan yang baik . Perubahan itu bukan lagi kerana Allah. Sangatlah rugi apabila sesuatu itu diusahakan bukan kerana Allah. Ya, sangat rugi dan salah.

Khatimah

Saya bukanlah insan yang ahli dalam hal ini.Namun kerana rasa tanggungjawab terhadap keadaan ummah, saya berusaha untuk menulis dalam topik yang paling saya tidak mahir ini. Saya juga manusia bukan robot yang tidak ada jiwa dan perasaan. Tetapi, di atas pertimbangan agama saya me'robot'kan sejenak diri ini. Antara faktornya masih trauma(ambil pengajaran) dengan kejadian di Pusat Latihan Khidmat Negara pada tahun lepas. Kita tak kacau orang, orang kacau kita, sampai akaun FB pun dihack jadi nama perempuan. Orang yang saya tidak kenal melafazkan ucapan yang memalukan, apatah lagi di hadapan ibu! Mujurlah si ibu memahami diri sebenar anaknya bukan begitu. Sehingga kini masih diganggu dengan panggilan misteri yang entah dari siapa.Pedulikan saja.

Usaha mengumpul bekalan ilmu dan melunaskan tanggungjawab sebagai seorang muslim kini menjadi fokus utama dan selamanya. Inilah antara jalan-jalan berubudiyah kepada Allah yang jelas dan tiada keraguan lagi. Wallahu'alam.






Anda mungkin juga berminat untuk membaca:

[ Read More ]

    There was an error in this gadget

    GEMAR DIBACA