Facebook
RSS

Pemergian Abu Bakar ash-Shiddiq

Tulisan khat Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyallhau'anhu di Hagia Sophia







Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



     Al-Hafiz Ibnu Kathir berkata: " Abu Bakar ash-Shiddiq meninggal pada hari Isnin di malam hari, ada yang mengatakan bahawa Abu Bakar meninggal setelah Maghrib (malam Selasa) dan dikebumikan pada malam itu juga iaitu tepatnya 8 hari sebelum berakhirnya bulan Jamadil Akhir tahun 13 Hijrah, setelah beliau mengalami sakit selama 15 hari. Pada waktu itu Umar menggantikan posisinya sebagai imam kaum muslimin dalam solat. Ketika sakit beliau menuliskan wasiatnya agar tampuk pemerintahan kelak diberikan kepada Umar bin al-Khattab dan yang menjadi juru tulis waktu itu adalah Usman bin Affan. Setelah surat selesai ditulis, maka segera dibacakan kepada segenap kaum muslimin, dan mereka menerimanya dengan segala kepatuhan dan ketundukan."

      Tempoh beliau menjadi khalifah selama 2 tahun 3 bulan, dan beliau meninggal pada usia 63 tahun sama dengan usia Nabi S.A.W.. Akhirnya Allah mengumpulkan jasad mereka dalam satu tanah, sebagaimana Allah mengumpulkan mereka dalam kehidupan.

     Sebelum meninggal beliau telah mewasiatkan agar seperlima dari hartanya disedekahkan sambil berkata, "Aku akan menyedekahkan hartaku sejumlah yang Allah ambil dari harta fai' kaum muslimin."

     Ketika beliau dalam keadaan nazak, ada yang berkata kepadanya, " Mahukah anda jika kami carikan seorang doktor? " . Maka dengan spontan dia menjawab, " Dia telah melihatku (maksudnya Allah) dan Dia berkata, " Sesungguhnya Aku akan berbuat apa-apa yang Ku kehendaki."

     Disebutkan bahawa sebab beliau jatuh sakit dan meninggal ialah beliau dan al-Harits - seorang doktor yang masyhur - pernah memakan khazirah yang dihadiahkan kepada Abu Bakar, maka setelah memakan daging itu berkata al-Harits, "Angkatlah tangan anda wahai Khalifah Rasulullah, demi Allah sesungguhnya daging ini telah beracun", maka Abu Bakar segera mengangkat tangannya, sejak itu keduanya selalu merasa sakit hingga akhirnya keduanya meninggal satu tahun kemudian.

     Riwayat lain ada yang mengatakan bahawa sebab meninggalnya beliau kerana mandi pada waktu malam pada musim sejuk yang bersangatan, yang membuat beliau demam lalu meninggal disebabkan itu.

Dalam keadaan sakit beliau melantunkan sebuah bait syair,

          Engkau selalu memberikan khabar duka cita atas kematian kekasihmu 
          Hingga kini engkaulah yang akan merasakan kematian itu 
          Banyak orang memiliki cita-cita 
          Namun kematian jualah yang menghadang segalanya

Ketika sakaratul maut petanda ajal yang akan menjemputnya datang, puterinya 'Aisyah -Ummul Mukminin- membacakan sebuah bait syair,

           Sesungguhnya tidak guna kekayaan bagi seseorang 
               Ketika dada terasa sempit dan susah bernafas

Mendengar itu beliau memandang kepada 'Aisyah radhiyallahu'anha seolah-olah marah dan berkata, "Jangan katakan demikian wahai Ummul Mukminin, namun katakan,



"Dan datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kaum selalu lari daripadanya. " (Surah Qaf:19)

     Di antara wasiat beliau kepada 'Aisyah, "Aku tidak meninggalkan harta untuk kalian kecuali haiwan yang sedang hamil, serta budak yang selalu membantu kita untuk membuat pedang kaum muslimin, kerana itu jika aku meninggal tolong berikan seluruhnya kepada Umar ". Ketika 'Aisyah menunaikan wasiat itu kepada Umar maka Umar berkata, "Semoga Allah merahmati Abu Bakar, sesungguhnya dia telah membuat kesulitan (untuk mengikutinya) bagi orang-orang yang menjadi khalifah setelahnya."

    Ketika Salman al-Farisi datang menjenguknya, Salman berkata, "Wahai Khalifah Rasulullah S.A.W. berikan aku wasiat sebab kulihat engkau tidak akan dapat lagi melakukannya setelah hari ini." Maka Abu Bakar menjawab, " Wahai Salman, pasti akan terjadi penaklukan (negeri-negeri kafir) tapi aku tidak pernah mengetahui apa-apa yang engkau peroleh dari bahagianmu kecuali apa-apa yang dapat engkau makan dan engkau masukkan ke dalm perutmu, atau apa-apa yang dapat kau kenakan di atas punggungmu(pakaianmu) dan ketahuilah sesungguhnya barangsiapa yang dapat mengerjakan solat lima waktu, maka dia telah berada dalam lindungan Allah pada pagi hari mahupun petang harinya, dan jangan sampai engkau membunuh seorang ahli zimmah, maka kelak Allah akan menuntutmu di hari kiamat dan mencampakkan dirimu dalam keadaan tersungkur dengan wajahmu ke dalam neraka." 


                            Sememangnya untuk bersabar itu sesuatu yang sukar, tetapi lebih teruk lagi untuk mensiakan ganjaran bagi kesabaran itu. - Abu Bakar R.A.


     Ibn Saad menyebutkan dengan sanadnya dari al-Qasim bin Muhammad dia berkata, " Abu Bakar dikafankan dalam dua kain, kain yang berwarna putih, dan satu lagi berwarna lain", beliau berpesan, "Sesungguhnya orang yang masih hidup lebih memerlukan kain dari orang yang telah mati, sebab kain kafan hanyalah menutup apa-apa yang akan keluar dari hidung mahupun mulutnya."

     Beliau dimakamkan bersama Rasulullah S.A.W. dalam kamar ('Aisyah) dan beliau disolatkan oleh Umar bin al-Khattab radhiyallahu'anhu.

     Beliaulah yang pertama kali diangkat Rasulullah S.A.W. sebagai amir dalam pelaksanaan ibadah haji pertama dalam Islam iaitu pada tahun 9 Hijrah, dan pada tahun berikutnya Rasulullah S.A.W. baru melaksanakan ibadah haji Wada'. Ketika beliau diangkat menjadi khalifah, beliau memerintahkan Umar untuk menjadi amir haji pada tahun 11Hijrah, dan tahun berikutnya barulah beliau berangkat mengerjakan haji.

(Lihat Ibn Kathir, Terjemahan al-Bidayah Wa an-Nihayah Masa Khulafa'ur Rasyidin, m/s 28, Jakarta: Darul Haq )
[ Read More ]

Ketegasan Ibn Taimiyyah Terhadap Pemimpin


Taqiyyuddin Abu Al-Abbas b. Syeikh Syihabbuddin Abdul Halim b. Abi Al-Qasim b. Taimiyyah Al-Haroni 
(661H-728H)




 
 Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani



    Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.


    Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”


    Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”. Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orang ramai!”.





    Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.

"Jangan terlalu bergantung kepada sesiapapun di dunia ini kerana sekalipun bebayangmu meninggalkanmu apabila engkau di dalam kegelapan." - Ibn Taimiyyah


    Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.



    Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”. Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawabnya: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” 


(Lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)

[ Read More ]

Insan dan Harapan




 Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

     Dalam kehidupan kita ini, adakalanya apa yang insan jangkakan akan berlaku, tidak berlaku. Sebaliknya apa yang tidak pernah insan itu fikirkan akan berlaku pula yang berlaku. Sungguh, kehidupan ini terlalu luas, mengatasi jangkauan dan pengetahuan insani.

Tuhan itu Maha Kaya.

    Di saat insan termenung panjang memikirkan apakah agaknya hikmah di sebalik segala kekecewaan, kepahitan dan kesulitan yang terpaksa ditelan, di 'arasy Allah sana telah pun tercatat hikmahnya. Cuma mungkin belum saja dijelmakan ke dalam kehidupan insan. Atau, mungkin saja insan itu sendiri  yang gagal melihat hikmahnya. Yakinilah.

Selagi mana Allah masih ada di hati insan, selagi itulah harapan akan terus ada

    Sunnatullah, apabila insan mengharapkan sesuatu, mereka akan merencana dan berusaha menjadikannya kenyataan. Pada nilaian mereka yang terbatas, itulah yang terbaik untuk mereka. Namun, tiada siapa yang benar-benar mengetahui adakah harapan itu sesuatu yang baik untuk dirinya, melainkan Allah Azza Wa Jalla yang Maha Mengetahui.

Kerana itu, sekiranya insan itu seorang muslim yang beriman, mereka pasti tidak lupa kepada firman Tuhannya,


" Telah ditetapkan ke atas kamu untuk berperang sedangkan perkara itu sesuatu yang tidak disenangi bagi kamu. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal perkara itu baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal perkara itu buruk bagi kamu. Dan Allah jualah yang Maha Mengetahui sedang  kamu tidak mengetahui. " 
- Surah al-Baqarah ayat 216

    Sedar atau tidak sedar, sebenarnya Allah sedang menjelaskan kepada insan muslim yang beriman bahawa apabila bertembung keinginan peribadi dengan tuntutan menegakkan agama, maka tuntutan berkait kemaslahatan agama mestilah didahulukan walaupun keinginan peribadi itu bukanlah sesuatu yang bercanggahan dengan syariat.

    Sebagai contoh, sekiranya insan itu seorang suami, sudah pastilah dia lebih senang berada di rumah bersama si isteri yang dicintai, dan apabila memperolehi wang gaji sudah pastilah lebih menyenangkan bagi dirinya jika dapat keluar makan dan membeli-belah bersama si isteri di samping meng'upgrade'  kereta dan rumah sendiri. Semua ini tidak salah di sisi syariat jika tiada pembaziran.

    Namun apabila tuntutan menegakkan agama datang, misalnya si suami ditugaskan mendakwahi sekumpulan orang-orang muda, mentarbiyah sesebuah institusi pengajian, menghadiri muktamar-muktamar, terpaksa pula menginfakkan sebahagian besar wang gaji yang diperoleh daripada penat lelah bekerja untuk urusan-urusan tersebut maka si suami perlu tinggalkan kesemua kesenangan tadi. Si isteri pula pasti lebih senang dan gembira jika selalu dapat berada di sisi suaminya, rasa lebih selamat dan dilindungi itu sudah pasti. Namun, semua itu perlu dikorbankan.

    Kekuatan untuk mengorbankan kehendak peribadi demi memilih untuk meneruskan agenda menegakkan agama ini tidaklah dapat dimiliki oleh insan yang biasa-biasa melainkan insan itu mestilah muslim yang beriman(mukminun). Perlu sebati dalam diri mereka:

1. Keikhlasan yang tidak tergoyah dek kenikmatan dunia
2. Kesediaan untuk berkorban dalam susah dan senang
3. Kesungguhan( al-Jiddiyah) yang berterusan

    Tidak dapat tidak, insan muslim perlu mendidik jiwanya untuk berpendirian dengan pendirian yang jelas dalam hal ini. Agar apabila pilihan sebegini datang lagi dalam kehidupannya, dia mampu menyatakan tanpa ragu-ragu, "Aku memilih mendahulukan tuntutan menegakkan agama."

 Pilih - memilih - dipilih - terpilih - pilihan.

    Tidak akan pernah ada walau seorang insan pun yang dapat lari daripada 5 perkataan ini di dalam hidupnya. Pemilihan ialah asas kepada penentuan perjalanan kehidupan. Kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Setiap pilihan yang diputuskan merupakan batu bata yang sedang disusun sama ada ke syurga atau ke neraka.

    Tidaklah dapat dibayangkan betapa rugi dan besarnya malapetaka bagi pilihan yang menghala ke neraka, iaitu pilihan atau keputusan yang sifatnya menjauhkan insan itu daripada ketaatan kepada Tuhannya.  Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis di dalam bab al-Jannah wa Sifatun Na'imuha wa Ahliha(Syurga dan Sifat Nikmatnya dan Penghuninya) ;

 
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu'ahnu, beliau berkata: Adalah kami (pada suatu hari) bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W. , tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh dengan keras, lalu beliau bersabda: "Tahukah kamu suara apakah ini? ". Kami menjawab, " Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui ". Lalu Nabi S.A.W. bersabda: "Ini adalah (suara) sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu, maka batu itu terus saja jatuh menuju dasar neraka dan baru pada saat ini ia sampai ke dasarnya. Maka kamu terdengar suara jatuhnya."  - Riwayat Muslim

Syeikh Abu Ali al-Banjari an-Nadwi menerangkan hadis ini di dalam kitab Penawar Hati dengan berkata;

" Yang lebih mengerikan lagi apabila jurang yang teramat dalam ini akan dipenuhi oleh bermacam-macam siksaan dan apabila sampai saatnya nanti pintu neraka ini akan ditutup 
serapat-rapatnya dan tidak ada seorang juga pun di antara penghuninya yang dibenarkan keluar daripadanya. Siksaan demi siksaan, habis satu jenis siksaan masuk pula pada jenis siksaan yang lain dan begitulah seterusnya dengan tiada ada kesudahan... "

    Cukuplah kiranya dengan hanya satu gambaran sifat neraka ini telahpun membuatkan insan tersentak seketika, malah mungkin ada yang menangis. Entah berapa banyak pilihan yang salah telah dipilih. Entah bagaimana insan mahu menghadapi neraka yang sedahsyat ini. Maka pilihlah apa yang terbaik untuk agamamu, pasti ia juga baik untuk hidupmu.

Katakanlah kepada dirimu dengan sebulat tekad yang kau mampu,
" Apa jua yang baik untuk Islam, maka itulah yang terbaik untuk diriku. "
" Selagi mana Allah masih di jiwa, selagi itu harapan akan terus ada."

Wallahu'alam.


Mohamad Hamiduddin b. Ismail
Padang Serai, Kedah
14 Oktober 2013
 9 Zulhijjah 1434H
[ Read More ]

    There was an error in this gadget

    GEMAR DIBACA