Facebook
RSS

Insan dan Harapan

-
Hamiduddin Ismail




 Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

     Dalam kehidupan kita ini, adakalanya apa yang insan jangkakan akan berlaku, tidak berlaku. Sebaliknya apa yang tidak pernah insan itu fikirkan akan berlaku pula yang berlaku. Sungguh, kehidupan ini terlalu luas, mengatasi jangkauan dan pengetahuan insani.

Tuhan itu Maha Kaya.

    Di saat insan termenung panjang memikirkan apakah agaknya hikmah di sebalik segala kekecewaan, kepahitan dan kesulitan yang terpaksa ditelan, di 'arasy Allah sana telah pun tercatat hikmahnya. Cuma mungkin belum saja dijelmakan ke dalam kehidupan insan. Atau, mungkin saja insan itu sendiri  yang gagal melihat hikmahnya. Yakinilah.

Selagi mana Allah masih ada di hati insan, selagi itulah harapan akan terus ada

    Sunnatullah, apabila insan mengharapkan sesuatu, mereka akan merencana dan berusaha menjadikannya kenyataan. Pada nilaian mereka yang terbatas, itulah yang terbaik untuk mereka. Namun, tiada siapa yang benar-benar mengetahui adakah harapan itu sesuatu yang baik untuk dirinya, melainkan Allah Azza Wa Jalla yang Maha Mengetahui.

Kerana itu, sekiranya insan itu seorang muslim yang beriman, mereka pasti tidak lupa kepada firman Tuhannya,


" Telah ditetapkan ke atas kamu untuk berperang sedangkan perkara itu sesuatu yang tidak disenangi bagi kamu. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal perkara itu baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal perkara itu buruk bagi kamu. Dan Allah jualah yang Maha Mengetahui sedang  kamu tidak mengetahui. " 
- Surah al-Baqarah ayat 216

    Sedar atau tidak sedar, sebenarnya Allah sedang menjelaskan kepada insan muslim yang beriman bahawa apabila bertembung keinginan peribadi dengan tuntutan menegakkan agama, maka tuntutan berkait kemaslahatan agama mestilah didahulukan walaupun keinginan peribadi itu bukanlah sesuatu yang bercanggahan dengan syariat.

    Sebagai contoh, sekiranya insan itu seorang suami, sudah pastilah dia lebih senang berada di rumah bersama si isteri yang dicintai, dan apabila memperolehi wang gaji sudah pastilah lebih menyenangkan bagi dirinya jika dapat keluar makan dan membeli-belah bersama si isteri di samping meng'upgrade'  kereta dan rumah sendiri. Semua ini tidak salah di sisi syariat jika tiada pembaziran.

    Namun apabila tuntutan menegakkan agama datang, misalnya si suami ditugaskan mendakwahi sekumpulan orang-orang muda, mentarbiyah sesebuah institusi pengajian, menghadiri muktamar-muktamar, terpaksa pula menginfakkan sebahagian besar wang gaji yang diperoleh daripada penat lelah bekerja untuk urusan-urusan tersebut maka si suami perlu tinggalkan kesemua kesenangan tadi. Si isteri pula pasti lebih senang dan gembira jika selalu dapat berada di sisi suaminya, rasa lebih selamat dan dilindungi itu sudah pasti. Namun, semua itu perlu dikorbankan.

    Kekuatan untuk mengorbankan kehendak peribadi demi memilih untuk meneruskan agenda menegakkan agama ini tidaklah dapat dimiliki oleh insan yang biasa-biasa melainkan insan itu mestilah muslim yang beriman(mukminun). Perlu sebati dalam diri mereka:

1. Keikhlasan yang tidak tergoyah dek kenikmatan dunia
2. Kesediaan untuk berkorban dalam susah dan senang
3. Kesungguhan( al-Jiddiyah) yang berterusan

    Tidak dapat tidak, insan muslim perlu mendidik jiwanya untuk berpendirian dengan pendirian yang jelas dalam hal ini. Agar apabila pilihan sebegini datang lagi dalam kehidupannya, dia mampu menyatakan tanpa ragu-ragu, "Aku memilih mendahulukan tuntutan menegakkan agama."

 Pilih - memilih - dipilih - terpilih - pilihan.

    Tidak akan pernah ada walau seorang insan pun yang dapat lari daripada 5 perkataan ini di dalam hidupnya. Pemilihan ialah asas kepada penentuan perjalanan kehidupan. Kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Setiap pilihan yang diputuskan merupakan batu bata yang sedang disusun sama ada ke syurga atau ke neraka.

    Tidaklah dapat dibayangkan betapa rugi dan besarnya malapetaka bagi pilihan yang menghala ke neraka, iaitu pilihan atau keputusan yang sifatnya menjauhkan insan itu daripada ketaatan kepada Tuhannya.  Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis di dalam bab al-Jannah wa Sifatun Na'imuha wa Ahliha(Syurga dan Sifat Nikmatnya dan Penghuninya) ;

 
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu'ahnu, beliau berkata: Adalah kami (pada suatu hari) bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W. , tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh dengan keras, lalu beliau bersabda: "Tahukah kamu suara apakah ini? ". Kami menjawab, " Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui ". Lalu Nabi S.A.W. bersabda: "Ini adalah (suara) sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu, maka batu itu terus saja jatuh menuju dasar neraka dan baru pada saat ini ia sampai ke dasarnya. Maka kamu terdengar suara jatuhnya."  - Riwayat Muslim

Syeikh Abu Ali al-Banjari an-Nadwi menerangkan hadis ini di dalam kitab Penawar Hati dengan berkata;

" Yang lebih mengerikan lagi apabila jurang yang teramat dalam ini akan dipenuhi oleh bermacam-macam siksaan dan apabila sampai saatnya nanti pintu neraka ini akan ditutup 
serapat-rapatnya dan tidak ada seorang juga pun di antara penghuninya yang dibenarkan keluar daripadanya. Siksaan demi siksaan, habis satu jenis siksaan masuk pula pada jenis siksaan yang lain dan begitulah seterusnya dengan tiada ada kesudahan... "

    Cukuplah kiranya dengan hanya satu gambaran sifat neraka ini telahpun membuatkan insan tersentak seketika, malah mungkin ada yang menangis. Entah berapa banyak pilihan yang salah telah dipilih. Entah bagaimana insan mahu menghadapi neraka yang sedahsyat ini. Maka pilihlah apa yang terbaik untuk agamamu, pasti ia juga baik untuk hidupmu.

Katakanlah kepada dirimu dengan sebulat tekad yang kau mampu,
" Apa jua yang baik untuk Islam, maka itulah yang terbaik untuk diriku. "
" Selagi mana Allah masih di jiwa, selagi itu harapan akan terus ada."

Wallahu'alam.


Mohamad Hamiduddin b. Ismail
Padang Serai, Kedah
14 Oktober 2013
 9 Zulhijjah 1434H

One Response so far.

  1. Terima kasih atas peringatan ini.

    Merinduimu sahabat :)

Leave a Reply

    There was an error in this gadget

    GEMAR DIBACA